Latar belakang TV_AlHijrah

TV AlHijrah ialah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat serta mendapat perkenan Majlis Raja  Raja Melayu. TV AlHijrah merupakan salah satu agensi bertaraf syarikat yang ditadbir selia dibawah AlHijrah Media Corporation serta diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melapor kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam). Ia merupakan stesen televisyen separa kerajaan kedua negara selepas Bernama TV.

Setelah memulakan siaran ujian pada 1 November 2010 dengan waktu siaran bermula pada jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan pada jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, TV AlHijrah kemudiannya dilancarkan secara rasmi pada 1 Muharram 1432H iaitu bersamaaan 7 Disember 2010 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato' Sri Mohd Najib bin Abdul Razak. Acara perasmian gilang gemilang ini disiarkan secara langsung di saluran terestrial nasional TV AlHijrah.

Pada awalnya, TV AlHijrah hanya boleh ditonton di lima kawasan sahaja iaitu di Lembah Klang, Terengganu, Mersing, Sabah dan Sarawak. Penambahbaikan dilakukan dan kemudiannya TV AlHijrah memasuki platform Astro bermula 1 Jun 2011. TV AlHijrah memilih saluran 114 di Astro sebagai simbolik kepada 114 surah yang terdapat di dalam kitab suci Al-Quran. Bukan itu sahaja, Siarannya telah dipanjangkan dari 12 tengah hari hingga 12 malam pada Isnin hingga Khamis manakala bersiaran dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Siaran percuma yang bertemakan "Segalanya Bermula di Sini" itu disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja berusia 4 hingga 17 tahun serta golongan muda dan berkeluarga berusia 18 hingga 39 tahun. Sebanyak 60 peratus kandungan siaran permulaan televisyen itu adalah terbitan tempatan manakala selebihnya adalah kandungan asing dari negara-negara seperti Iran, Indonesia, Turki, Palestin dan Belanda. Sejumlah 30 peratus daripada kandungan tempatan diterbitkan sendiri TV AlHijrah.

Terkini, siaran TV AlHijrah dilanjutkan kepada dua puluh empat jam sehari dengan tema TV Kita Untuk Semua. Pelbagai sajian hidangan rancangan-rancangan menarik telah ditambah bagi memenuhi kehendak hati penonton setia stesen ini.[5][6]